Thursday 30 May 2013

Antara Cinta dan Kasih - Part 19


Anisha resah gelisah tidak menentu. Jam menunjukkan pukul 2.00 pagi matanya masih belum dapat lelap. Amirul tidak menghubunginya selama hampir seminggu. Sejak mendapat panggilan telefon tempoh hari, dia hanya memberitahunya bahawa dia perlu ke luar negeri hari itu juga. Tidak pula dia mengatakan untuk apa. Dia cuma memberitahu Anisha bahawa dia ada perkara penting yang menghendaki dia ke sana segera. Anisha tidak mahu kehilangan Amirul pula. Kenapa mesti Amirul menyiksanya sebegini. Kenapa tidak sekali pun Amirul menelefonnya memberitahunya bahawa dia berada di dalam keadaan selamat.

 

Anisha tersentak bila terdengar bunyi pintu kereta di tutup. Anisha mengendap melalui tingkap. Bayang dua orang lelaki sedang berdiri memandang kea rah rumah. ‘Amirul’ detik hati Anisha. Lelaki di sebelahnya tidak dapat di lihat dengan jelas kerana dia memandang ke arah lain.

 

“Mungkin kawan Amirul,” bisik Anisha. Hatinya lega bila mendapati Amirul sudah pulang. Tidaklah dia khuatir tentang Amirul. Dapatlah dia tidur dengan lena bila mengetahui Amirul sudah pulang.

 

Anisha memerhatikan mereka berbual-bual, seketika kemudian Amirul meninggalkan kereta lalu menuju kearah guest house, manakala pemuda yang berada bersamanya tadi menuju ke dalam rumah.

 

Anisha kembali ke katilnya lalu mematikan lampu kecil di meja sisi.

 

 Seawal jam 5.30 pagi Affendy sudah bangkit dari tidur. Badannya dibersihkan dan dia sudah menunaikan solat subuh. Rambutnya sudah dipotong dan sudah disisir rapi seperti Affendy dahulu. Dia masih belum bertemu dengan mamanya lagi. Affendy berjalan perlahan kea rah bilik mamanya seraya memulas tombol pintu. Mamanya sedang duduk di atas tikar sembahyang sedang berdoa. Affendy menanti dengan sabar menanti mamanya habis berdoa. Sebaik sahaja kedua-dua tangannya meraup wajahnya. Affendy segera mendapatkan mamanya lalu mencium tangannya. Puan Hasnah tersentak kerana tertiba sahaja Amirul meluru kepadanya.

 

“Rul dah balik,” ujar Puan Hasnah seraya mengusap rambut anaknya perlahan.

 

“Ini Fendy mama,” ujar Fendy seraya mengangkat wajahnya. Dia memandang ke wajah mamanya.

 

            “Ya Allah Fendy, benar-benar ini Fendy,” ujar Puan Hasnah kurang percaya dengan apa yang dilihat. Air matanya mengalir laju tanpa dapat di tahan. Doanya diperkenankan tuhan. Dia hampir berputus asa bila tidak menerima sebarang berita dari mana-mana pihak hospital mahupun pihak polis di Venice setelah hampir 7 bulan Fendy menghilang. Wajah anak muda itu dipegang dan dibelek berkali-kali. Tidak bermimpikah dia? Betulkah anaknya Fendy di depan matanya. Puan Hasnah memeluk Affendy erat seperti tidak mahu melepaskannya. Rindunya pada Affendy terlalu amat.

 

Affendy membiarkan sahaja mamanya berbuat demikian. Dia tahu mamanya benar-benar rindu akannya. Dia turut rindu pada mamanya. Puan Hasnah mencium pipi Affendy berkali-kali bila sedar bahawa dia tidak bermimpi. Bahawa anaknya Fendy benar-benar berada di matanya.

 


 

“Hi sayang,” sapa Amirul kepada Anisha yang sedang duduk sendirian di taman.

 

Anisha menoleh seraya memasamkan wajahnya. Dia berpura-pura kerana dia benar-benar geram dengan Amirul kerana tidak memberitahunya kemana dia menghilang selama seminggu tanpa berita.

 

“Nisa marahkan Rul ke?,” soal Amirul wajah Anisha ditatap lama. Rindu benar dia dengan buah hatinya ini. Sebab itu dia cepat-cepat menyuruh mamanya masuk meminang dia tidak mahu Anisha di kebas orang.

 

“Kenapa Rul buat macam ini, Nisa risau tau tak, Rul tak kesiankan Nisa ke? soal Anisha tanpa menjawab soalan Amirul. Dia tidak marah pada pemuda itu dia cuma risau sahaja.

 

Amirul tersenyum. ‘Sayang juga Nisa pada dirinya’ bisik Amirul.

 

“Nisa, Rul ada berita gembira,” ujar Amirul seraya menarik nafas dalam.

 

Anisha memandang wajah Amirul dengan penuh tanda tanya.

 

“Abg Fendy masih hidup Nisa, abg Rul dah balik, Rul benar-benar merasa gembira dan bersyukur,”ujar Amirul sebak lalu mengengam tangan Anisha erat. Dia mahu berkongsi kegembiraannya dengan wanita yang di kasihi.

 

“Betul abg Fendy masih hidup, alhamdullilah syukur,” ujar Anisha seraya tersenyum turut gembira dengan berita yang di sampaikan Amirul. Tahulah dia kenapa Amirul menghilangkan diri selama seminggu untuk ke luar negara. Dia datang menjemput abang Fendy pulang. Anisha percaya lelaki yang kelihatan bersama dengan Amirul pagi tadi adalah abangnya Affendy. Walaupun berita itu agak memeranjatkannya kerana tidak menyangka Affendy masih hidup setelah menghilangkan diri tanpa di kesan selama hampir 7 bulan, namun dia turut merasa bersyukur kerana Amirul kelihatan lebih ceria sekarang. Dia tahu Amirul benar-benar sayang akan abangnya Fendy.

 
 
 

Affendy duduk menatap gambar gadis yang dicintainya. Wajah Anisha sedang tersenyum diambil suatu ketika dahulu sebelum gadis itu menjalani pembedahan ke atas matanya. Affendy tidak tahu apa yang perlu dimulakan dahulu. Kembali ke Darul Ehsan mencarinya. Mungkin Anisha masih lagi tinggal disana. Atau menelefon sahaja Dr. Azman.

 

Affendy tersentak bila terdengar suara seseorang sedang tertawa. Dia menuju ke arah tingkap. Matanya terarah kearah pasangan yang sedang duduk menikmati minuman petang di taman. Affendy tersenyum. Gembira kerana Amirul akan mendirikan rumahtangga tak lama lagi. Sekurang-kurangnya mamanya tidak pening kepala memikirkan Amirul yang manja dan keanak-anakan. Sekurang-kurangnya dia punya isteri yang dapat melayan karenahnya. Affendy mengalihkan pandangan kearah tunang Amirul. Dia tidak dapat melihat wajahnya dengan jelas kerana gadis itu duduk membelakangkannya. Amirul bangun dari tempat duduknya diikuti tunangnya.

 

Affendy terpana seketika bila terpandang akan wajah tunang Amirul. Betulkah apa yang dilihatnya atau dia sedang bermimpi.

 

“Anisha,” detik hatinya. Gambar Anisha yang dipegangnya sedari tadi jatuh ke lantai. Hancur hatinya melihat pasangan itu ketawa riang menuju ke dalam rumah.
 
To be continued...

No comments:

Post a Comment