Awal pagi tadi aku bangkit dari
tidur seperti biasa. Guruh berdentam kuat di luar menandakan hari hendak hujan.
Aku keluar ke ruang tamu lalu menjeling ke arah balcony. Pintu balcony tertutup rapat dan langsir masih
belum di selak. Hatiku menjadi sebak. Namun aku tahan airmata dari mengalir
lalu menuju ke kamar mandi untuk mengambil wudhuk. Seperti biasa aku akan solat
di bilik study. Sekali lagi hatiku sebak kerana teringatkan dia selalu duduk di
satu sudut setiap kali aku solat. Wajahnya yang comel tidak dapat aku lupakan.
‘Leo’ nama aku berikan kepadanya
pada hari pertama aku dan Mikhail pergi mengambilnya dari rumah Habsah. Habsah
memberi kami seekor dari anak kucingnya kerana Mikhail dan Maya suka pada
kucing. Ketika itu usianya baru 3 bulan. Kucing kacukan Parsi dan Siamese. Bulunya
putih dan ‘Leo’ punya tanda lahir di hidung. Diantara 3 beradik ‘Leo’ tidak
kelihatan berapa comel kerana ada tanda lahir dihidungnya. Namun bila dia sudah
berusia setahun lebih ‘Leo’ diantara kucing yang tercomel dari 3 beradik itu.
‘Leo’ begitu manja dan rapat
dengan Mikhail. Dengan Maya pula, ‘Leo’ punya mood. Jika moodnya baik
dia tidak begitu garang pada Maya. Sungguhpun Leo is ‘notty’ boy. Kami
sekeluarga begitu menyayangi ‘Leo’ walaupun Encik Amir kita, hubungannya dengan
‘Leo’ takut-takut berani kerana padanya ‘Leo’ seekor kucing yang lincah dan
Encik Amir hanya suka pada kucing yang jinak dan manja.
Dan oleh kerana ‘Leo’ seekor
kucing yang lincah, setiap kali Encik Amir berada di ruang tamu ‘Leo’ akan
dimasukkan ke tempat rumahnya di balcony. Dan bila Encik Amir ke bilik, kami
akan membiarkan ‘Leo’ bergerak bebas di dalam rumah dan tempat yang selalu di
tuju dahulu adalah bilik Mikhail. Dia akan menjadi peneman setia pada Mikhail.
Mereka berdua tidur bersama dan bermain bersama selalu bila Mikhail tidak leka
dengan Ipadnya. Aku suka membelai ‘Leo’ kerana ‘Leo’ berbadan mungil dan
bulunya yang cantik seperti carpet dan sedap di peluk, sementelah lagi rupanya yang tersangat-sangat comel kerana Leo sudah bertukar warna seperti kucing siam dan berbulu lebat seperti parsi!
Tapi kini hanya tinggal kenangan.
Semalam merupakan hari yang menyedihkan buat kami sekeluarga kerana tiada lagi
kedengaran suara ‘Leo’ mengeow bila minta perhatian dari kami. Tiada lagi aksi
lucu Leo yang suka membalik-balikkan badannya bila minta di belai. Rumah merasa
sunyi dan kami merasa kehilangan yang amat sangat kerana ‘Leo’ bukan sahaja
kucing peliharaan kami dia juga ahli keluarga penyeri rumah kami. ‘Leo’ yang
kami sayangi telah meninggalkan kami buat selama-lamanya.
Selamat tinggal sayang kami
‘Leo’. ‘Leo’ berada di tempat yang indah. Kami sekeluarga akan sentiasa
merinduimu.
Tanggal (18 September 2016) - Hari yang menyedihkan kerana Leo telah pergi meninggalkan kami buat selama-lamanya jam 7.20 pagi.